Tuesday, November 9, 2010

zambry guna mufti dan media buat serangan balas

semuanya cuba dikumpul dibawah ini. tentang kepercayaan melayu berkaitan tiang seri pun ada. minta baca dengan hati terbuka dan nilai. 


petikan bh 10 nov 2010



berikut adalah berita yang dipetik dari malaysia kini

PAS guna cara agama serang saya, kata Zambry
Nov 8, 10 7:08am
Kongsi 0
Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mendakwa oleh kerana sokongan orang Melayu telah kembali meningkat terhadap kerajaan BN, PAS terpaksa menggunakan cara lama mereka iaitu memainkan agama sebagai isu untuk menarik semula sokongan itu.

Dakwanya, cara itu turut digunakan untuk melaga-lagakan hubungan yang baik antara beliau dan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berhubung amalan khurafat yang didakwa dilakukannya ketika upacara meletak ancak di tiang seri rumah semasa program Projek Infra Bina Upaya di Kampung Guar, Manong di Kuala Kangsar pada 17 Oktober lalu.

"Mereka menggunakan agama untuk menyerang saya. Mereka memainkan agama sebagai isu kerana mereka tahu sokongan orang Melayu kembali kuat kepada kerajaan BN...Saya tidak pernah mempertikaikan pandangan Mufti, berbeza dengan mereka yang hanya pandai mengambil kesempatan untuk meraih sokongan politik," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Deepavali di kediamannya di Ipoh, semalam.

Sebaliknya, kata Zambry semasa Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dan Khalil Idham Lim (ADUN Titi Serong) memperingati kematian Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock dengan memegang lilin yang bernyala dan berpakaian serba hitam, tiada pula teguran yang dibuat parti itu.

Pada 22 Oktober lalu, Dewan Pemuda Pas mendesak Harussani memberi teguran kepada Zambry yang didakwa telah mengadakan upacara meletak ancak pada tiang seri rumah yang mana amalan itu bertentangan dengan akidah Islam.
Pada upacara ketika merasmikan program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar dalam DUN Manong, Zamri telah meletak ancak ke tiang seri di tapak pembinaan rumah orang kurang upaya.

Menurut PAS upacara itu diwarisi oleh orang dahulu yang bersifat "karut, syirik dan dan bercanggah dengan akidah Islam".

"Upacara meletakkan tiang seri - tiang tengah rumah - dengan menepung tawar diiringi bacaan doa tertentu adalah amalan karut seperti mahu menjadi rumah itu aman... Kita (orang Islam) hanya diminta untuk bergantung kepada Allah," kata ketua pemuda PAS negeri Zawawi Hassan.

petikan kosmo

Pasung hantu tiang seri


TIDAK lengkap rumah Melayu dahulukala jika tidak bertiangkan kayu. - Gambar hiasan


“JANGAN main dekat tiang seri. Nanti malam tak boleh tidur.”
Nasihat berbaur amaran oleh arwah datuk saudaranya masih terngiang-ngiang di telinga seorang kawan penulis setiap kali dia mengunjungi rumah tersebut.
Malah, hatinya berdebar apabila cuba menghampiri tiang yang terletak di tengah rumah itu.
Berdasarkan seni bina orang Melayu dahulu, tiang seri merupakan tonggak sesebuah kediaman.
Terletak di tengah-tengah struktur bumbung, ciri utama yang membezakan tiang tersebut ialah jenis kayunya.
Menurut seorang ‘orang lama’, Rafie Dahlan, 57, rumah, masjid atau bangunan tanpa tiang seri tidak akan berseri.
Bagaimanapun, kata Rafie, dia tidak dapat memastikan sama ada benar atau tidak tiang seri mempunyai ‘penjaga’ seperti yang dikhabarkan oleh orang dahulukala.
“Tetapi berdasarkan pengalaman sendiri, saya pernah diganggu ketika tidur berhampiran tiang seri.
“Saya rasa panas dan pernah meracau,” katanya yang kini menetap di Singapura.
Cerita Rafie lagi, terdapat beberapa upacara yang perlu dijalankan ketika memilih tiang seri hinggalah selesai kerja memasak.
Adat tersebut berbeza mengikut tempat dan negeri. Malah, ada juga masyarakat Melayu yang langsung tidak mempunyai upacara ketika menegakkan tiang seri.
“Lazimnya, sebelum tiang lain ditegakkan, tiang seri ditegakkan dahulu menggunakan khidmat bomoh yang diyakini pakar mengenai rumah,” katanya.
Dalam kesamaran ingatan, Rafie menjelaskan semasa memasang tiang seri di rumah arwah bapanya di Jelutong, Pulau Pinang beberapa dekad lalu, bomoh berkenaan mengikat sehelai kain kuning pada kuda-kuda yang bersambung dengan tiang seri tersebut.

KEPERCAYAAN tiang seri memiliki misteri tersendiri kurang dihiraukan sekarang.


Pantang larang
Sebilah keris kecil turut diletakkan pada tiang seri yang diperbuat daripada kayu nyatuh itu.
Menyentuh mengenai pantang larang , ia bermula ketika memilih pokok lagi.
“Menurut arwah ayah, pokok yang dipilih haruslah mengikut turun naik matahari. Hendak mengupas kulit pokok itu pun ada caranya,” kata Rafie.
Logik pemilihan sebegitu rupa berkait rapat dengan teknik pembinaan rumah oleh orang dahulu.
Tanpa menggunakan paku dan hanya bergantung pada pasak, Rafie menyimpulkan ia sebab utama kenapa bukan sembarangan kayu boleh dijadikan tiang rumah.
“Kayu harus kuat, teguh untuk menampung bumbung serta tidak mudah pecah semasa dipahat.
“Kayu juga mesti tahan panas dan hujan serta mampu merentasi masa hingga puluhan tahun lamanya,” ujar Rafie.

SAMA ada masjid atau kediaman tradisional Melayu, fungsi tiang seri adalah sama iaitu sebagai tonggak utama binaan. - Gambar hiasan


Beliau turut memberitahu, cara mendirikan tiang seri di dalam rumah pun ada kaedahnya yang tersendiri.
Sambung Rafie, menurut cerita lisan orang lama, kayu tiang seri adakalanya dipilih daripada pokok yang mempunyai ‘kayu pasung hantu’.
Berbentuk seperti Hajarul Aswad, kayu pasung hantu merupakan dua batang kayu yang bercantum dan membentuk seperti lubang.
Dipercayai, makhluk halus tidak boleh menghinggapi kayu sebegitu. Secara tidak langsung, ia menjadi pendinding kepada rumah yang siap kelak.
“Namun, tidak dinafikan masih terdapat makhluk halus yang singgah di tiang seri.
“Kepercayaan tersebut seringkali membawa kepada upacara tertentu ketika menegakkan tiang seri bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” jelas Rafie.
Dalam pada itu, meskipun rumah arwah bapanya telah roboh lebih 15 tahun lalu, tiang seri tersebut masih tegak berdiri di tempat asal.
Memegang nasihat bapanya agar tiang seri itu tidak diganggu, Rafie tidak mempunyai pilihan lain kecuali membiarkannya reput mengikut masanya sendiri.
“Bukan sebab percayakan perkara mistik di sebalik tiang seri itu namun disebabkan ia tiang pertama yang didirikan, jadi saya biarkan saja di situ,” katanya.

No comments:

Post a Comment