Monday, January 24, 2011

cerita berjabat tangan bukan mahram

PENDAPAT FATWA MALAYSIA

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-79 pada 6-8 September 2007

"Pada prinsipnya hukum berjabat tangan dengan wanita Ajnabi adalah HARAM. Walaubagaimanapun dalam keadaan tertentu yang sukar dielakkan, ianya dibolehkan tetapi dalam keadaan terkawal supaya ianya tidak dijadikan budaya dalam masyarakat Islam"

Berjabat Tangan Dengan Perempuan Bukan Mahram Menurut 4 mazhab:

Mazhab Hanafi
- Haram menyentuh wajah dan dua telapak tangan perempuan bukan mahram, sekalipun aman dari syahwat.
- Berjabat tangan dengan perempuan tua yang sudah tidak bersyahwat lagi; At-Thahawi berkata tidak mengapa. Manakala Syamsudin Ahmad bin Qaudar berkata tidak halal sekalipun aman dari syahwat.
Mazhab Maliki
- Haram berjabat tangan dengan perempuan bukan mahram. Ini dinyatakan oleh al-Imam al-Baaji, al-Qadhi Abu Bakar Ibnul Arabi dan As-Shawi.
- Hukum berjabat tangan dengan perempuan tua, menurut Syeikh Abul Barakat Ahmad bin Muhamad bin Ahmad ad-Durdair ia tidak dibenarkan.
Mazhab Syafi’i
- An-Nawawi di dalam beberapa karyanya, as-Syaribini dan lain-lain ulama as-Syafi’I menyatakan haram berjabat tangan dengan perempuan bukan mahram.
- Dibenarkan menyentuh perempuan bukan mahram ketika dalam keadaan darurat, seperti ketika berubat, pembedahan, mencabut gigi dan sebagainya, seandainya ketika itu tidak ada perempuan yang boleh melakukannya.
Mazhab Hanbali
- Imam Ahmad ketika ditanya tentang masalah berjabat tangan dengan perempuan bukan mahram, beliau menjawab: “Aku membencinya.”
- Berjabat tangan dengan perempuan tua; Imam Ishaq bin Mansur al-Marwazi menukil dari imam Ahmad, ia tidak dibenarkan. Sementara Ibnu Muflih menyatakan; pemilik an-Nazham mengatakan makruh dan dengan anak kecil dibolehkan dengan tujuan menyemai budi pekerti.

PENDAPAT TERKINI (MUASIRAH)

PERTAMA:
Sheikul Azhar, Dr Muhammad Sayyid Tantawi, dipetik berkata, beliau tidak pernah terbaca hadis atau kisah dalam sirah, Rasulullah pernah berjabat tangan dengan wanita yang bukan mahramnya. “Rasulullah tidak pernah sama sekali berjabat tangan de ngan wanita bukan mahram dan inilah yang dipersetujui oleh kebanyakan ulama fiqah.
“Namun, masih ada pendapat yang mengatakan (membolehkan) jika berjabat tangan itu tidak berlandaskan niat yang jahat iaitu semata-mata berjabat tangan dengan hujung jari sahaja secara ikhlas,” katanya. Beliau sendiri apabila pulang ke kampung halaman, se pupunya yang perempuan di mana sesetengahnya sudah lanjut usia datang menghulur tangan mereka untuk ber salam.

“Kami di kampung-kampung di Mesir, apabila kaum wanita ingin berjabat tangan dengan lelaki, maka mereka me lakukannya dengan berlapikkan hujung kain kelubung atau mengalaskan tangan dengan sesuatu. “Bagaimanapun, saya lebih cenderung kepada pendapat tidak (boleh) berjabat tangan antara lelaki dan wanita yang bukan mahramnya kerana tidak ada nas Rasulullah pernah melakukannya,” katanya.

KEDUA:
FATWA DR. YUSUF AL-QARDHAWI
HUKUM BERJABAT TANGAN ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN

Tidak dapat dinafikan isu berjabat tangan antara lelaki dan wanita bukan mahram adalah kontroversi yang tidak berkesudahan. Sudah tentu siapa sahaja akan berada dalam dilema apabila seorang wanita menghulurkan tangan untuk berjabat tangan. Lebih-lebih lagi sekiranya wanita tersebut adalah sanak saudara seperti ipar, bapa tiri, sepupu atau saudara mara sebelah isteri yang kebanyakannya bukan mahram. Malah persoalan berjabat tangan ini begitu sensitif bagi orang Islam Malaysia sehingga kredibiliti dan digniti seorang agamawan atau pemimpin Islam boleh tergugat kerana berjabat tangan dengan yang bukan mahram. Justeru itu, penting untuk kita membahaskan isu ini dengan teliti agar dapat menjernihkan kekeliruan ini.

Dr. Yusuf al-Qardhawi pernah ditanya tentang persoalan ini dan beliau membahaskannya dalam buku beliau bertajuk Al-Fatawa al-Mu’asaarah (Fatwa Semasa). Terdapat dua pandangan dalam bab ini:

Pandangan Pertama: Diharamkan berjabat tangan dengan wanita apabila disertai dengan syahwat dan nikmat daripada salah satu pihak, lelaki atau wanita. Lebih-lebih lagi jika kedua-duanya merasa terangsang melalui sentuhan ini. Atau sekiranya perbuatan tersebut boleh menimbulkan fitnah terhadap mereka. Ketetapan ini diambil berdasarkan kaedah menutup jalan menuju kerosakan (Sadduz-Zaraa’i) itu adalah wajib, tambahan pula jika diyakini amalan berjabat tangan ini hanya menggalakkan pergaulan bebas dan tidak terbatas.

Hal ini diperkuat lagi oleh apa yang dikemukakan para ulama bahawa bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita asal hukumnya adalah harus tetapi boleh berubah menjadi haram apabila disertai dengan syahwat atau dikhuatirkan terjadinya fitnah. Khususnya dengan anak perempuan isteri (anak tiri), atau saudara sesusuan, yang perasaan hatinya sudah barang tentu tidak sama dengan perasaan hati ibu kandung, anak kandung, saudara wanita sendiri, ibu saudara dari ayah atau ibu, dan sebagainya.

Pandangan Kedua: Diharuskan berjabat tangan dengan wanita tua yang sudah tidak punya ghairah terhadap laki-laki, demikian pula dengan anak-anak kecil yang belum mempunyai syahwat terhadap laki-laki, kerana berjabat tangan dengan mereka itu aman dari sebab-sebab fitnah. Begitu pula bila lelaki tersebut sudah tua dan tidak punya ghairah terhadap wanita.

Hal ini didasarkan pada riwayat dari Abu Bakar r.a. bahawa beliau pernah berjabat tangan dengan beberapa orang wanita tua, dan Abdullah bin Zubair mengambil pembantu wanita tua untuk merawatnya, maka wanita itu mengusapnya dengan tangannya dan membersihkan kepalanya dari kutu. Ini berdasarkan kelonggaran yang Allah berikan kepada golongan ini dalam permasalahan aurat. Firman Allah:

Maksudnya: “Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Nuur 24 : 60)
Dikecualikan juga lelaki yang tidak memiliki ghairah terhadap wanita dan anak-anak kecil yang belum muncul hasrat seksualnya. Mereka dikecualikan dari sasaran larangan terhadap wanita-wanita mukminat dalam hal menampakkan perhiasannya.

Firman Allah s.w.t.:
Maksudnya: “...dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan…” (Surah al-Nuur 24 : 31)

Jika kita perhatikan riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w., nescaya kita jumpai sesuatu yang menunjukkan bahawa semata-mata bersentuhan tangan antara lelaki dengan perempuan tanpa disertai syahwat dan tidak dikhuatirkan terjadinya fitnah tidaklah terlarang, bahkan pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., sedangkan pada dasarnya perbuatan Nabi s.a.w. itu adalah tasyrik dan untuk diteladani.

Imam Bukhari meriwayatkan dalam Shahih-nya pada "Kitab al-Adab" dari Anas bin Malik r.a., ia berkata:
"Sesungguhnya seorang budak wanita di antara budak-budak penduduk Madinah memegang tangan Rasulullah s.a.w., lalu membawanya pergi ke mana ia suka."

Dalam riwayat Imam Ahmad dari Anas juga, ia berkata:
"Sesungguhnya seorang budak perempuan dari budak-budak penduduk Madinah datang, lalu ia memegang tangan Rasulullah s.a.w., maka beliau tidak melepaskan tangan beliau dari tangannya sehingga dia membawanya pergi ke mana ia suka."

Berdasarkan riwayat-riwayat tersebut, Dr. Yusuf al-Qardhawi menjelaskan semata-mata bersentuhan kulit tidaklah haram. Apabila didapati sebab-sebab yang menjadikan percampuran (pergaulan) seperti yang terjadi antara Nabi s.a.w. dengan Ummu Haram dan Ummu Sulaim serta aman dari fitnah bagi kedua belah pihak, tidak mengapalah berjabat tangan antara lelaki dengan perempuan ketika diperlukan, seperti ketika datang dari perjalanan jauh, seorang kerabat lelaki berkunjung kepada kerabat wanita yang bukan mahramnya atau sebaliknya, seperti sepupu perempuan baik dari pihak ibu mahu pun dari pihak ayah, atau isteri bapa saudara, dan sebagainya, lebih-lebih jika pertemuan itu setelah lama tidak berjumpa.

Kesimpulan daripada pembahasan ini ada dua perkara ditekankan di sini:
Pertama, bahawa berjabat tangan antara lelaki dan perempuan itu hanya dibolehkan apabila tidak disertai dengan syahwat serta aman dari fitnah. Apabila dikhuatirkan terjadi fitnah terhadap salah satunya, atau disertai syahwat dan nikmat dari salah satunya maka pengharaman berjabat tangan tidak diragukan lagi.

Bahkan seandainya kedua syarat ini tidak terpenuhi - iaitu tiadanya syahwat dan aman dari fitnah - meskipun jabatan tangan itu antara seseorang dengan mahramnya seperti ibu saudaranya, saudara sesusuan, anak tirinya, ibu tirinya, mertuanya, atau lainnya, maka berjabat tangan pada keadaan seperti itu adalah haram.
Malah berjabat tangan dengan anak yang masih kecil pun haram hukumnya jika kedua syarat itu tidak terpenuhi.

Kedua, hendaklah berjabat tangan itu sekadar keperluan saja, dengan golongan ahli keluarga yang bukan mahram, iaitu dengan kerabat atau besan yang terjadi hubungan yang erat dan akrab di antara mereka; dan tidak harus hal ini diperluas kepada orang lain. Untuk membendung kerosakan, menjauhi syubhah, mengambil sikap hati-hati, dan meneladani Nabi s.a.w. - tidak ada riwayat kuat yang menyebutkan bahawa beliau pernah berjabat tangan dengan wanita lain (bukan kerabat atau tidak mempunyai hubungan yang erat).

Dan yang lebih utama bagi seorang Muslim atau Muslimah - yang komitmen pada agamanya - ialah tidak memulai berjabat tangan dengan lain jenis. Tetapi, apabila diajak berjabat tangan barulah ia menjabat tangannya.

Kesimpulannya, seorang Muslimah yang baik seharusnya memelihara dirinya dan tidak sesekali mengamalkan budaya berjabat tangan dengan lelaki asing, tetapi dalam keadaan tertentu yang memaksa harus sekadar memenuhi keperluan seperti dijelaskan di atas. Bagaimana pun perbuatan menghulurkan tangan kepada lelaki, berdakapan dan lebih teruk saling mencium pipi, seperti yang diamalkan kebanyakan artis kini, adalah perbuatan yang haram dan mesti dihindari. Tetapi dalam masa yang sama juga tidak wajar menghukum seorang itu jahat atau berdosa kerana melihatnya berjabat tangan dengan lawan jenis, kerana hukum bersentuhan kulit asalnya harus dan terdapat perbezaan pendapat dalam hukum berjabat tangan di antara lelaki dan perempuan.

HADIS&PENDAPAT ULAMAK2 ISLAM

PERTAMA:
Ummul Mukminin Aisyah r.a pernah bersumpah menafikan Rasulullah s.a.w. pernah menyentuh tangan wanita dalam bai’ah peristiwa hijrah : ‘Demi Allah, tangan baginda tidak pernah menyentuh tangan wanita pun, baginda hanya berbai’ah dengan ucapan’. (Fath al-Bari 11/345-346 dan Sharh Sahih Muslim 13/10).

KEDUA:
Ini disokong oleh satu riwayat lain di mana Umaimah binti Raqiqah r.ah pernah berkata : ‘Aku datang kepada Rasulullah s.a.w. dalam kumpulan wanita, kami ingin berbai’ah dengannya. Kami berkata : “Kami berbai’ah denganmu wahai Rasulullah bahawa kami tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu, kami tidak mencuri, tida berzina, tidak membunuh anak-anak kami dan kami tidak akan membuat cerita dusta yang direka-reka serta kami tidak akan mengingkari perintahmu pada kebenaran”. Lantas Rasulullah s.aw. bersabda : “Pada perkara yang kamu mampu dan berdaya”. Umaimah menceritakan lagi : “Kami berkata bahawa Allah dan RasulNya lebih mengasihani kami daripada diri kami, ayuhlah kami ingin berbai’ah denganmu wahai Rasulullah”. Lalu Nabi s.a.w menjawab : “Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita, sesungguhnya perkataanku kepada seratus orang wanita adalah seperti perkataanku kepada seorang wanita atau seumpama perkataanku kepada seorang wanita”. (HR al-Tirmizi 4/151-152, al-Nasa’i 7/149, Ibn Majah 2/959. al-Tirmizi menyebut : ‘Hadis ini hadis hasan sahih).


WALLAHUA'LAM...SELAMAT BERAMAL

Tuesday, January 18, 2011